Pejabat Daerah Batu Pahat

Profil Jabatan

Bangunan Tunku Mahkota Ibrahim Ismail

 

SEJARAH PEMBUKAAN DAERAH

Pada zaman dahulu, Batu Pahat dikenali sebagai Pulau Kundur dan Sungai Batu Pahat juga dikenali sebagai Sungai Kundur. Ianya merupakan petempatan-petempatan kecil yang berasingan yang dibuka oleh orang-orang kenaman dan orang-orang besar seperti penghulu dan ketua-ketua kampung. Jadi sehinggalah pada tahun 1893, barulah Dato’ Bentara Luar iaitu Dato’ Muhamad Salleh bin Perang berjaya memulakan usaha bagi membangunakan Bandar Batu Pahat di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala sungai Batu Pahat.

Pembukaan rasminya telah dilakukan pada 1hb. Januari 1894 oleh Dato’ Muhamad Salleh bin Perang sendiri yang dihadiri oleh Orang-orang Kaya, Penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Kemuncak majlis perasmian itu ialah istiadat menaikkan bendera negeri Johor di Bukit Penggaram yang sekarang menjadi tapak dan kawasan rumah kediaman Pegawai Daerah dan seterusnya bukit itu disebut orang Bukit Bendera hingga hari ini. Seterusnya selepas itu Pegawai-Pegawai Tadbir pun disusun dan pejabat-pejabat kerajaan seperti mahkamah, polis. penjara, rumah sakit dan lain-lain juga diwujudkan satu demi satu.

Pentadbiran Batu Pahat di bawah pimpinan Dato’ Bentara Luar berjalan lancar dan mengagumkan, ini dinyatakan oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor (General Commisioner) dalam rangka lawatan tugasnya di Batu Pahat pada 21hb. hingga 24hb. Disember 1896. Zaman Dato’ Bentara Luar berakhir pada pertengahan tahun 1911 apabila Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat menggantikan Dato’ Bentara Luar. Kini Batu Pahat terus membangun dan muncul sebagai salah satu daerah yang termaju di negeri Johor Darul Takzim dan mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.

MATLAMAT

“Menjadi sebuah organisasi yang cemerlang dan berkualiti serta dapat membawa kemajuan dalam pembangunan daerah selaras dengan dasar-dasar kerajaan”


WAWASAN

“Menjadi sebuah organisasi pentadbiran kerajaan yang cekap, berkualiti, berilmu, komited serta mampu mencorakkan pembangunan daerah yang mampan selaras dengan dasar-dasar kerajaan”

OBJEKTIF

“Menjalankan tugas berasasakan konsep Bersih ,Cekap, Amanah dan Berkesan bagi Menggerak, Menyelaras dan Melaksanakan program serta projek-projek dari semua aspek pentadbiran dan pembangunan bagi memberi perkhidmatan yang seimbang kepada penduduk dan masyarakat selaras dengan dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan”.

MISI

” Merancang dan melaksanakan pembangunan daerah secara efektif dengan dasar-dasar kerajaan dan keperluan masyarakat.”

VISI

“ Membangunkan Negeri Johor Secara Holistik ”

FUNGSI PEJABAT DAERAH NEGERI JOHOR KHIDMAT PENGURUSAN

Menguruskan hal ehwal pentadbiran, kewangan, keselamatan, pelesenan dan penguatkuasaan, dan majlis keraian daerah.

PENTADBIRAN AM

Melaksanakan Tugas-Tugas Pentadbiran Am yang berkaitan dengan Perkhidmatan, Permohonan Pelan Pelesenan Bangunan.

KEWANGAN

Menguruskan dan mengawal belanjawan, Hasil, Kewangan Am, Inventori dan Pelupusan Harta Modal.

TEKNOLOGI MAKLUMAT

Pusat Pengumpulan Data dan Teknologi Maklumat Jabatan.

PERLESENAN

Memproses dan mengeluarkan lesen-lesen yang berkaitan di dalam daerah mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan melalui enakmen, peraturan dan garis panduan Kerajaan Negeri Johor yang berkuatkuasa.

Membuat tugas-tugas penguatkuasaan lesen di bawah Enakmen hiburan dan tempat-tempat hiburan 1998 serta Enakmen Panggung Wayang dan Permainan Raya 1958 (Enakmen No. 6 Tahun 1958).

PEMBANGUNAN

Merancang dan menyelaras perlaksanaan rancangan pembangunan fizikal dan masyarakat.

PEMBANGUNAN FIZIKAL

Mengenal pasti dan melaksanakan projek-projek pembangunan fizikal daerah.

PEMBANGUNAN MASYARAKAT

Mengurus dan menyelaras aktiviti-aktiviti mukim meliputi aspek sosio-ekonomi, keagamaan, pendidikan dan kebudayaan.