Penantian Hampir 20 Tahun Berakhir

Ditulis pada : 13-04-2018

PASIR GUDANG, 13 April – Perjuangan hampir 20 tahun bagi 83 penduduk Kampung Cahaya Baru dan 53 penduduk Kampung Kopok Baru, dekat sini berbaloi apabila mereka menerima Notis 5A dan Surat Tawaran Rumah Generasi Kedua semalam.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, baki penduduk yang belum berjaya akan diperhalusi serta diteliti kelayakannya dan akan berusaha untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

“Kurniaan hakmilik tersebut membuktikan dasar dan pendekatan kerajaan negeri selama ini berjaya membantu menyelesaikan masalah rakyat demi kesejahteraan mereka.

“Dasar kerajaan negeri sedia ada adalah kita nak selesaikan masalah masyarakat, antaranya keperluan dan kehendak untuk mendapatkan tanah atau rumah.

“Kerana kalau ada salah satu antara kedua-duanya, mereka akan rasa selamat dan dapat hidup secara bermakna, bermaruah dan bermartabat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Notis 5A Kampung Cahaya Baru dan Surat Tawaran Generasi Kedua Kampung Kopok Baru, di Dewan Muafakat Taman Cahaya Masai, semalam.

urut hadir Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (Jcorp), Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor, Mohd Halim Hasbullah.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan yang sama bagi setiap permasalahan masyarakat berkaitan soal tanah dan rumah di negeri Johor.

“Kerajaan negeri mengambil pendekatan mana-mana tanah yang ada perkampungan setinggan dan sesuai diberi hak milik, kita akan bagi hak milik.

“Kalau mana-mana tanah tidak sesuai diberi hakmilik sebab ianya sempit, kecil dan jumlah permohonan banyak, kalau diberi kepada yang sedikit yang lain akan bergaduh, maka kita usahakan pembangunan semula.

“Atau jika kedua-dua tidak boleh, kita beri syarat jangan pindah begitu, sekurang-kurangnya kalau perlu berpindah sebab tanah tidak sesuai, kita pastikan mereka diberi pampasan atau ditawarkan rumah di tempat lain,” katanya.

Tambahnya lagi, pendekatan yang sama itu juga membuktikan banyak masalah berkaitan tanah dan rumah di negeri Johor dapat diselesaikan.

“Ini termasuklah 99 peratus masalah tanah yang dihadapi masyarakat Melayu di kawasan parlimen Pasir Gudang selesai.

“Maka kerajaan negeri juga menggunakan pendekatan yang sama kepada Kampung Cahaya Baru dan Kampung Kopok Baru,” katanya.

Sumber diambil dari Jauhar