Pejabat Daerah Kluang

Profil Jabatan



Pejabat Daerah Kluang (PDK) terletak di Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah, Jalan Pejabat Kerajaan 1, 86000 Kluang, Johor. Kawasan pentadbirannya meliputi 8 buah mukim. Pejabat Daerah Kluang adalah merupakan agensi kerajaan utama di daerah Kluang yang bertindak sebagai perancang dan penyelaras pembangunan daerah. Dari segi sosial, organisasi ini juga memainkan peranan sebagai agen kepada perubahan, penyambungan kepada lidah kerajaan dan pendokong kepada sistem pentadbiran berdasarkan budaya kerja yang cemerlang dan positif.

Kluang merupakan nama sebuah pekan dan daerah yang terletak lebih kurang di tengah negeri Johor. Ia terletak 110km di utara Johor Bahru, tenggara Batu Pahat, barat Mersing dan selatan Segamat. Bilangan penduduk daerah Kluang kini melebihi 250,000 orang dan kawasan bandar itu sendiri mempunyai 140,000 penduduk. Nama Kluang berasal daripada perkataan Melayu ‘keluang’, yang bermaksud sejenis musang terbang ataupun kelawar buah. Haiwan-haiwan sebegini pernah wujud dalam bilangan yang banyak di daerah Kluang beberapa dekad yang lalu, tetapi kini hampir tiada lagi disebabkan aktiviti pemburuan dan pemusnahan habitat semulajadinya. Kedudukan Kluang terletak di tengah-tengah Negeri Johor Darul Ta’zim, dikelilingi oleh semua daerah, kecuali daerah Muar. Keluasan daerah Kluang ialah 2,8518.8 kilometer persegi. Kluang mudah dihubungi dengan bandar-bandar lain dengan melalui rangkaian jalanraya dan keretapi.

Tahun 1915 merupakan tahun bersejarah bagi Kluang. Pada tahun tersebut pusat pentadbiran telah ditubuhkan bagi kawasan tengah Johor. Pada tahun yang sama juga perhubungan landasan keretapi menghubungi Kluang dengan bandar-bandar utama yang lain telah dibina. Pertumbuhan pesat bandar Kluang bermula pada tahun 1920-an dan 1930-an dengan daerah pengeluar getah paling utama. Pejabat Daerah Kluang merupakan sebuah jabatan yang bertanggungjawab dalam pembangunan Kluang dan sekaligus pusat bagi perubahan, cabaran dan pengaruh dalam bentuk sosial dan budaya. Di samping itu Pejabat Daerah Kluang juga berperanan sebagai institusi sokongan pembangunan di peringkat akar umbi di setiap kawasan di daerah Kluang. Berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia, Kerajaan Negeri Johor telah mengasingkan pentadbiran daerah dan pentadbiran tanah melalui pembentukan Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah Daerah. Walau bagaimanapun Pejabat Daerah merupakan pentadbiran utama di peringkat daerah.