Dasar Johor Prihatin Didik Masyarakat

Ditulis pada : 01-04-2018

JOHOR BAHRU, 1 April – Dasar Johor Prihatin yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri membuktikan bahawa agenda untuk membantu golongan memerlukan terus menjadi fokus utama walaupun dalam kerancakan pembangunan negeri.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata dasar tersebut adalah sangat penting kerana ia mengajak masyarakat untuk melakukan kebajikan.

“Tidak ada negara maju yang masyarakatnya menyerahkan agenda kebajikan itu sebagai urusan negara semata-mata.

“Semua negara maju adalah negara yang rakyat dan masyarakatnya, mempunyai kesedaran yang mendalam dan tinggi kepada kebajikan lingkungan mereka dan manusia sejagat.

“Biar kita di Johor ini terkenal sebagai masyarakat moden dan maju, namun ringan tangan, ringan tulang, suka membantu, penuh dengan rasa empati dan prihatin terhadap masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Bangunan Taman Sinar Harapan Jubli, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rohani Abdul Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Asiah Md Ariff.

Menurut Mohamed Khaled, persepsi yang menganggap aktiviti kebajikan dan kesukarelawan mestilah besar, meriah dan berskala mega perlu diubah.

“Sebenarnya, dalam kerja-kerja kemanusiaan, saiz tidak pernah menjadi isu. Kecil atau besar inisiatif kita, selagi ikhtiar tersebut menjurus kepada penambahbaikan golongan sasar, ia adalah mustahak dan bermakna.

“Kerana itu, melalui agenda Johor Prihatin itu, kita mesti menjadi pendorong untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa setiap sumbangan, setiap pertolongan dan setiap pemberian kita kepada masyarakat, adalah sangat bernilai dan bermakna,” katanya.

Sempena majlis tersebut, Menteri Besar turut merasmikan Bangunan Taman Sinar Harapan Jubli yang bernilai RM20.5 juta.

Ia mampu menempatkan kira-kira 240 Orang Kurang Upaya (OKU) perempuan yang mengalami masalah pembelajaran dengan latihan pembangunan diri dan kemahiran dalam usaha memupuk semangat berdikari.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Bantuan Peralatan Kepada Ibu Tunggal dan Wanita Berpendapatan Rendah, serta Bantuan 2 Year End Program (YEP) Muafakat Johor bernilai RM3,000 kepada setiap penerima.

Terdahulu, Mohamed Khaled turut merasmikan Bazarnita Johor, sebuah program dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Bazarnita Johor yang berkonsepkan jualan terus kepada orang awam, melibatkan 40 peserta termasuk daripada golongan OKU.

Ia dilaksanakan pada setiap hari Sabtu pada minggu pertama dan keempat setiap bulan, di Medan Selera Iskandar Malaysia, Pekan Gelang Patah.

Sumber diambil dari Jauhar