Lebih 2,200 MyHome Di Johor, Bantu Rakyat Miliki Rumah

Ditulis pada : 07-05-2018

JOHOR BAHRU, 6 Mei – Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) telah menawarkan sebanyak 2,228 unit rumah di negeri ini bagi membolehkan rakyat memiliki kediaman sendiri.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata kesemua itu dapat dilakukan kerana kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang sangat prihatin.

“Dengan kos sara hidup yang meningkat dan harga tanah yang mahal seperti Johor Bahru, mana mungkin rakyat boleh beli rumah dengan harga yang mampu mereka miliki.

“Jika mereka boleh beli, agaknya ia terletak jauh dari pusat bandar. Maka, ia mencerminkan kerajaan sangat prihatin walaupun di luar sana mengutuk kerajaan macam-macam, tetapi kerajaan tetap prihatin dan membantu rakyat,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Kunci MyHome di Bandar Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Beliau turut berharap rakyat dapat berlaku adil terhadap kerajaan dan membuat pertimbangan berasaskan kepada fakta dan hakikat.

“Jangan lakukan apa-apa yang boleh menggagalkan ataupun merosakkan segala perancangan yang telah kita bangunkan selama ini,” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara yang juga Timbalan Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Dr Ali Hamsa; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengarah Urusan Johor Land Bhd (JLand), Lokman Abu Bakar.

Sementara itu, Mohamed Khaled pada sidang media berkata, sebanyak 1,000 unit rumah MyHome di Bandar Dato’ Onn itu adalah rumah pertama yang siap dibina di negeri ini dan akan turut dibangunkan di tempat lain.

Jelas beliau, harga sebenar rumah tersebut adalah RM172,000, tetapi JCorp telah memberi subsidi sebanyak RM73,000, sekaligus menjadikan harga rumah itu adalah RM99,000.

“Kemudian, kerajaan pusat ada memberi (insentif) RM30,000 di bawah Skim MyHome,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk memastikan kesemua rumah mampu milik dapat disiapkan seperti yang dirancang.

“Kita tidak nafikan perlunya rumah mahal, tetapi kita tidak abaikan tanggungjawab untuk menyediakan rumah yang mampu dibeli oleh rakyat. Kita telah menyasarkan untuk menyiapkan 100,000 unit rumah menjelang 2023,” katanya.

Seramai 1,000 pembeli menerima kunci masing-masing hari ini.

JLand berjaya menyiapkan empat blok perumahan itu yang mempunyai 1,000 unit rumah MyHome, berkeluasan 850 kaki persegi dan 16 unit PKJ B.

Rumah yang dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air itu mula dibina pada Ogos 2014 dan siap pada Ogos tahun lalu, dengan membabitkan kos pembangunan sebanyak RM172 juta.

Pada 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah mengumumkan Skim MyHome adalah salah satu langkah kerajaan untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah mampu milik.

Sumber diambil dari Jauhar