Manifesto Pembangkang Bukti Mereka Tidak Sepakat

Ditulis pada : 23-04-2018

PASIR GUDANG, 20 April – Manifesto yang ditawarkan pembangkang bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menunjukkan mereka tidak mampu untuk bersepakat dalam usaha memajukan negara.

Perkara itu berikutan mereka hanya menawarkan sedikit sahaja akujanji dalam menifesto tersebut, sedangkan Malaysia kini berkembang pesat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata ini juga menunjukkan pembangkang tidak boleh duduk bersama untuk bersetuju dalam banyak perkara.

“Kita tahu DAP itu siapa dan kita pun tahu parti-parti lain itu siapa. Mereka tidak akan bersetuju.

“Di sana, dia (pembangkang) tidak bersetuju dalam banyak perkara. Dia tidak mula bercakap benda serius kerana mereka tahu tidak boleh duduk bersama.

“Apa yang ada hari ini adalah ‘marriage of convenience’. Mana mungkin mahu bangunkan sebuah negara seperti Malaysia yang berkembang pesat hanya tawarkan 60 perkara dan 20 perkara untuk Johor,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah SJKC Ladang Grisek di Eco Tropics, Pusat Perniagaan Eco World di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai jumlah tawaran manifesto yang telah dikemukakan oleh pembangkang untuk negara dan negeri ini pada pilihanraya umum kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata, manifesto BN pusat telah membuat tawaran 300 perkara berbanding 60 tawaran oleh pembangkang manakala manifesto BN Johor pula sebanyak 230 tawaran berbanding 20 tawaran oleh pembangkang.

“Mengapa begitu? Ini kerana kesepakatan BN dalam banyak perkara adalah meluas.

“Jadi, atas sebab itu, saya kata tempoh lima tahun adalah bukan eksperimen, kita akan rugi,” katanya.

Berhubung semua calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) BN akan diumumkan oleh Pengerusi BN negeri masing-masing, Mohamed Khaled berkata, beliau masih belum mendapat senarai calon lagi.

“Apabila dapat senarai calon, saya akan adakan sesi untuk mengumumkan nama calon,” katanya.

Sumber diambil dari Jauhar