Penubuhan ‘Majlis Negeri, Universiti dan Industri untuk Teknologi Lanjutan’ Dicadangkan

Ditulis pada : 27-03-2018

JOHOR BAHRU, 26 Mac – Kerajaan negeri bercadang menubuhkan sebuah ‘Majlis Negeri, Universiti dan Industri untuk Teknologi Lanjutan’ bagi memastikan wujudnya sinergi tulen dan berfungsi antara ketiga-tiga pihak itu bagi merealisasikan Dekad Baharu Johor.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, majlis itu akan berfungsi sebagai forum untuk wakil kerajaan, universiti dan industri bertemu dan berbincang pelbagai agenda pembangunan negeri dan bagaimana teknologi termaju boleh digunakan dalam pelaksanaannya.

“Mekanisme sebegini amat penting bukan sahaja untuk membangunkan sinergi antara kerajaan, industri dan universiti untuk perkara-perkara berhubung teknologi tinggi.

“Tetapi yang lebih penting, ialah untuk meneroka teknologi termaju bagi dipertimbangkan untuk diguna pakai dalam pembangunan negeri Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvensyen Johor Berkemajuan 2018 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Md Jais Sarday serta Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ir Wahid Omar.

Tambah Mohamed Khaled, Unit Transformasi Kerajaan Pejabat Menteri Besar Johor akan menjadi sekretariat Majlis itu bagi memandu transformasi penting dengan mandat serta matlamat yang jelas.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyeru golongan cendekiawan universiti untuk sama-sama memberi pandangan dan idea bagi mendukung cita-cita Dekad Baharu Johor.

“Tampillah. Berikan pencerahan. Bangunkan cita-cita ini dengan idea bernas anda. Berikan nilai pada cita-cita ini dengan pemikiran hebat kalian.

“Kalau golongan cendekiawan bangsa tidak tampil, tidak memberi pencerahan, ke mana lagi akan kami cari suluhan sedekad mendatang, ” katanya.


Sumber diambil dari Jauhar